Selasa, 29 Januari 2013

Pengikut Imam Syafi’i Yang Sebenar-Nya


Siapakah Pengikut Imam Syafi’i Yang Sebenar-Nya

Kebanyakan orang ramai mengaku-ngaku sebagai pengikut Imam Syafi’i akan tetapi yang sebenarnya mereka tidak menyedari bahawa mereka banyak menyalahi pegangan Imam Syafi’i yang sebenar. Rata-rata penduduk Malaysia, Indonesia, mahupun di Singapura semuanya mengaku adalah bermazhab Syafi’i. Bahkan apabila kita menegur mereka “Perbuatan itu menyalahi sunnah Nabi” maka mereka dengan pantas menjawab “Kami adalah penganut mazhab Syafi’i, kami mengikut pandangan Imam Syafi’i.” Akan tetapi tahukah anda apakah pegangan Imam Syafi’i yang sebenar?
Maka dalam tulisan kali ini saya hendak mengemukakan beberapa pendapat Imam Syafi’i sendiri berkenaan Aqidah, Sunnah dan Bid’ah, zikir setelah solat, dan kenduri arwah yang mana perkara ini yang sering menjadi persoalan harian kita dan dengan itu kita bersama-sama dapat melihat  dan menilai sendiri sejauh mana benar pegangan kita ini sama dengan pegangan Imam Syafi’i ataupun tidak.
Aqidah Imam Syafi’i
Al-Imam Ibn Qudamah Al-Maqdisiy rahimahullah membawakan perkataan Imam Asy-Syafi’i dalam kitabnya “Lum’atul I’tiqad” :
قال الإمام أبو عبد الله محمد بن إدريس الشافعي رضي الله عنه : آمنت بالله وبما جاء عن الله ، على مراد الله ، وآمنت برسول الله ، وبما جاء عن رسول الله على مراد رسول الله .

“Al-Imam Abu ‘Abdullah Muhammad bin Idris Asy-Syafi’I radiallahu ‘anhu berkata: “Aku beriman kepada Allah dan kepada apa yang telah datang dari Allah, sesuai dengan yang dimaksudkan oleh Allah. Dan aku pun beriman kepada Rasulullah, serta apa yang datang dari Rasulullah sesuai dengan yang dimaksudkan oleh Rasulullah.” (Lum’atul I’tiqad, al-Maktabah al-Syamilah, hal 4)
Dr. Muhammad bin Abdurrahman al-Khumais membawakan sebuah manuskrip asli riwayat Abu Talib al-‘Usyari yang kini tersimpan di University of Leaden di Belanda:
من رواية أبي طالب العشاري ما نصّه قال: وقد سُئل عن صفات الله عز وجل وما ينبغي أن يؤمن به, فقال (لله تبارك وتعالى أسماء وصفات جاء بها كتابه وخبر بها نبيه صلى الله عليه وسلم, أمته لا يسع أحداً من خلق الله عز وجل قامت لديه الحجة إن القرآن نزل به وصحيح عنده قول النبي صلى الله عليه وسلم, فيما روى عنده العدل خلافه فإن خالف ذلك بعد ثبوت الحجة عليه فهو كافر بالله عز وجل.

 “Riwayat dari Abu Thalib al-‘Usyari apa yang dinaskan olehnya, dia berkata: “Dan telah ditanya (Imam Asy-Syafi’i) tentang sifat-sifat Allah ‘Azza wa Jalla dan apa yang patut seseorang beriman dengannya. Maka berkata (Imam Asy-Syafi’i): “Allah Tabaraka wa Ta’ala memiliki nama-nama dan sifat-sifat yang telah disebutkan oleh KitabNya dan diberitakan oleh NabiNya sallallahu ‘alaihi wasallam kepada umatnya. Tidak boleh diingkari oleh sesiapa pun dari makhluk Allah Azza wa Jalla yang telah sampai kepadanya hujah. Sesungguhnya al-Qur’an turun membawa keterangan dengannya, juga sabda Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam yang sahih yang diriwayatkan oleh perawi yang adil dan tsiqah telah menerangkan masalah itu. Maka barangsiapa yang mengingkari semuanya itu setelah ditegakkan hujjah ke atasnya, maka dia telah kafir kepada Allah Azza wa Jalla.”

فأما قبل ثبوت الحجة عليه من جهة الخبر فمعذور بالجهل لأن علم ذلك لا يدرك بالعقل ولا بالدراية والفكر ونحو ذلك أخبار الله عز وجل أنه سميع وأن له يدين بقوله عز وجل (بل  يداه مبسوطتان) وأن له يميناً بقوله عز وجل (والسموات مطويات بيمينه), وإن له وجهاً بقوله عز وجل (كل شيء هالك إلا وجهه), وقوله (ويبقى وجه ربك ذو الجلال والإكرام) وأن له قدماً بقوله صلى الله عليه وسلم (حتى يضع الرب عز وجل فيها قدمه) يعني جهنم لقوله صلى الله عليه وسلم, للذي قتل في سبيل الله عز وجل أنه (لقي الله عز وجل وهو يضحك إليه) وأنه يهبط كل ليلة إلى السماء الدنيا بخبر رسول الله صلى الله عليه وسلم, بذلك وأنه ليس بأعور لقول النبي صلى الله عليه وسلم إذ ذكر الدجال فقال (إنه أعور وإن ربكم ليس بأعور) وإن المؤمنين يرون ربهم عز وجل يوم القيامة بأبصارهم كما يرون القمر ليلة البدر وأنه له إصبعاً بقوله صلى الله عليه وسلم (ما من قلب إلا هو بين أصبعين من أصابع الرحمن عز وجل)

 “Adapun jika dia menentang kerana belum mendapat hujah dan keterangan tersebut, maka dia diampuni kerana kebodohannya kerana pengetahuan tentang semua itu (sifat-sifat Allah dan nama-namaNya) tidak dapat dijangkau oleh akal dan fikiran. Yang termasuk ke dalam keterangan-keterangan seperti ini adalah keterangan-keterangan Allah Azza wa Jalla bahawa Dia Maha Mendengar dan bahawa Allah itu memiliki Tangan sesuai dengan firmanNya: “Bahkan kedua Tangan Allah terbuka.” (Al-Maidah: 64) Dan bahawa Allah memiliki Tangan Kanan, sebagaimana firmanNya: “Dan langit digulung dengan Tangan KananNya.” (Az-Zumar: 67) Dan bahawa Allah itu memiliki Wajah, berdasarkan firmanNya yang menetapkannya: “Tiap-tiap sesuatu pasti binasa, kecuali wajah Allah...” (Al-Qashash: 88) “Dan kekallah wajah Tuhanmu yang mempunyai keagungan dan kemuliaan.” (Ar-Rahman: 27) Dan bahawa Allah memiliki Kaki sesuai dengan sabda Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam: “Sehingga Allah Azza wa Jalla meletakkan Kaki-Nya ke dalamnya.” Yakni neraka Jahannam (untuk memenuhinya sehinggalah neraka berkata: ‘Cukup, cukup, demi keagunganMu...’)” (Lihat hadis riwayat Muslim, no: 2848)

Dan Allah Ketawa berdasarkan sabda Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam tentang orang yang mati di jalan Allah: “Dia akan bertemu Allah Azza wa Jalla sedang Allah Tertawa kepadanya.” (Lihat hadis riwayat Bukhari, no: 2826 dan Muslim, no: 1890) Dan bahawa Allah Turun ke langit dunia pada setiap malam sebagaimana dikhabarkan oleh Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam tentangnya. Begitu juga keterangan bahawa Allah Subhanahu wa Ta’ala itu tidak buta sebelah mata-Nya berdasarkan pernyataan Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam ketika baginda menyebut dajjal, baginda bersabda: “Sesungguhnya Dajjal buta sebelah matanya dan sesungguhnya Tuhanmu tidaklah buta sebelah mata-Nya.” (Lihat hadis riwayat Muslim, no: 2933)

Dan bahawa orang-orang mukmin pasti akan melihat Tuhan mereka pada hari kiamat dengan pandangan mata seperti halnya mereka melihat bulan di malam purnama, juga bahawa Allah Azza wa Jalla mempunyai Jari Jemari seperti ditetapkan oleh sabda Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam: “Tidaklah ada satu hati pun melainkan ia berada di antara Dua Jari dari Jari-Jari Ar-Rahman Azza wa Jalla.” (Lihat hadis riwayat Ibnu Majah, no: 199)
 
وإن هذه المعاني التي وصف الله عز وجل بها نفسه ووصفه بها رسوله صلى الله عليه وسلم, لا يدرك حقه ذلك بالفكر والدراية ولا يكفر بجهلها أحد إلا بعد انتهاء الخبر إليه وإن كان الوارد بذلك خبراً يقوم في الفهم مقام المشاهدة في السماع (وجبت الدينونة) على سامعه بحقيقته والشهادة عليه كما عاين وسمع من رسول الله صلى الله عليه وسلم, ولكن نثبت هذه الصفات وننفي التشبيه كما نفى ذلك عن نفسه تعالى ذكره فقال (ليس كمثله شيء وهو السميع البصير)

 “Dan bahawa tentang ini, telah ditetapkan oleh Allah Azza wa Jalla bagi diri-Nya dan disifatkan oleh Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam. Tidak dapat diketahui hakikatnya yang demikian dengan akal dan fikiran dan tidaklah menjadi kafir oleh orang-orang yang jahil seorang pun kecuali setelah diterangkan ke atasnya. Dan bila mana yang datang tersebut merupakan barita yang kedudukannya dalam pemahaman seperti sesuatu yang disaksikan dalam apa yang didengar, maka wajib baginya sebagai orang yang mendengar berita tersebut untuk mengimani dan tunduk kepada hakikat hal tersebut dan mempersaksikan atasnya seperti halnya dia melihat dan mendengtar dari Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam. Namun kita tetapkan sifat-sifat ini dengan menafikan kesamaan dengan makhluk (Tasybih) sebagaimana Allah telah menafikannya daripada diri-Nya dalam firman-Nya: “Tiada sesuatupun yang seumpama denganNya dan Dialah Yang Maha Mendengar lagi Maha Melihat.” (Asy-Syuura: 11)” (Selesai nukilan dari buku I’tiqad Aimmah Al-Arba’ah, Dr. Abdurrahman Al-Khumais, halaman 24-25) 

Imam Asy-Syafi’i Bermazhab Sunnah Nabi Yang Sahih

Syeikh Nasiruddin Al-Albani membawakan riwayat-riwayat dari Imam yang empat (Imam Abu Hanifah, Imam Malik, Imam Asy-Syafi’i, Imam Ahmad bin Hanbal) berkenaan anjuran mengikuti sunnah dan meninggalkan apa yang menyalahi sunnah, di dalam kitabnya “Sifatus Solatin Nabi.” Antara ucapan-ucapan Imam Asy-Syafi’i tersebut adalah seperti berikut (Lihat halaman 44-47, Cetakan 2004M = 1424H, Maktabah Al-Ma’arif Lin-Nasyr wa At-Tauzigh – Riyadh):
أجمع المسلمون على أن من استبان له سنة عن رسول الله صلى الله عليه وسلم لم يحل له أن يدعها لقول أحد. - الفلاني ص 68

“Seluruh kaum muslimin telah bersepakat bahawa orang yang secara jelas telah mengetahui suatu hadis dari Rasulullah tidak halal meninggalkannya demi mengikuti pendapat seseorang.” (Al-Filani, hal 68)
إذا وجدتم في كتابي خلاف سنة رسول الله صلى الله عليه وسلم فقولوا بسنة رسول الله صلى الله عليه وسلم ودعوا ما قلت. وفي رواية: فاتبعوها ولا تلتفتوا إلى قول أحد. - النووي في المجموع 1 / 63

“Jika kamu menemui dalam kitabku sesuatu yang bertentangan dengan hadis Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam maka hendaklah kamu berkata dengan sunnah Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam dan tinggalkanlah pendapatku itu.” Dan dalam riwayat yang lain: “Maka kamu mengikutinya dan janganlah kamu berpaling kepada pendapat seseorang.” (An-Nawawi dalam Al-Majmu’, 1/63)
إذا صح الحديث فهو مذهبي. - النووي 1 / 63

“Sekiranya sahih hadis tersebut, maka itulah mazhabku.” (An-Nawawi 1/63)
كل مسألة صح فيها الخبر عن رسول الله صلى الله عليه وسلم عند أهل النقل بخلاف ما قلت فأنا راجع عنها في حياتي وبعد موتي ) . - أبو نعيم في الحلية 9 / 107)

“Setiap masalah sahihnya hadis dari Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam menurut ahli hadis itu bertentangan dengan apa yang aku katakan, pasti aku akan menariknya semula sama ada semasa hidupku mahupun setelah kewafatanku.” (Abu Nu’aim dalam Al-Hilyah 9/107)
إذا رأيتموني أقول قولا وقد صح عن النبي صلى الله عليه وسلم خلافه فاعلموا أن عقلي قد ذهب. - ابن عساكر بسند صحيح 15 / 10 / 1

“Apabila kamu menetahui aku mengatakan suatu pendapat yang menyalahi hadis Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam yang sahih, ketahuilah bahawa akalku telah hilang.” (Ibn ‘Asakir dengan sanad yang sahih, 15/10/1)
كل ما قلت فكان عن النبي صلى الله عليه وسلم خلاف قولي مما يصح فحديث النبي أولى فلا تقلدوني. - ابن عساكر بسند صحيح 15 / 9 / 2

“Setiap perkataanku apabila bertentangan dengan riwayat yang sahih dari Nabi, maka hadis Nabi lebih utama dan jangan bertaqlid kepadaku.” (Ibn ‘Asakir dengan sanad yang sahih, 15/9/2)
كل حديث عن النبي صلى الله عليه وسلم فهو قولي وإن لم تسمعوه مني. - ابن أبي حاتم 93 - 94

“Setiap hadis yang dat
ang dari Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam maka ia adalah pendapatku walaupun kamu tidak mendengarnya sendiri dariku.” (Ibn Abi Hatim, 93-94)

Demikian perkataan-perkataan Imam Asy-Syafi’i yang berharga kepada kita. Ini merupakan kaedah yang ditinggalkan oleh Imam Asy-Syafi’i kepada kita agar sentiasa mengikuti sunnah Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam yang sahih walaupun ianya tidak dikenali oleh Imam Asy-Syafi’i.

Sebagai contoh dalam masalah tayammum Imam Asy-Syafi’i berpendapat hendaklah menyapu muka dan tangan dengan dua kali tepukan ke tanah iaitu sekali tepukan disapu ke muka dan sekali lagi tepukan disapu ke atas tangan hingga ke siku. Imam Asy-Syafi’i meriwayatkan dalam kitab induknya “Al-Umm”:
في التيمم ضربة للوجه وضربة للكفين هكذا يقولون ضربة للوجه وضربة لليدين إلى المرفقين

“Dalam bertayammum itu adalah sekali pukulan untuk wajah dan sekali pukulan untuk kedua-dua telapak tangan, yang demikian mereka berkata (maksudnya) sekali pukulan untuk wajah dan sekali lagi pukulan untuk kedua-dua tangan sehingga kesiku.” (Al-Umm, dalam Al-Maktabah Asy-Syamilah, 7/172)

Imam Asy-Syafi’i berpendapat demikian kerana berhujahkan hadis berikut ini:

اَلتَّيَمُّم ضَرْبَتَانِ ضَرْبَةٌ لِلْوَجْهِ وَضَرْبَةٌ لِلْيَدَيْنِ إِلَى الْمِرْفَقَيْنِ

“Tayammum itu ada dua pukulan, sekali pukulan untuk wajah dan sekali lagi untuk kedua-dua tangan hingga ke siku.” (Hadis riwayat At-Thabrani dan Al-Hakim)

Hadis di atas ini sanadnya dha’if jiddan (lemah sekali) kerana terdapat perawi yang bernama Ali bin Dzabyan. Ibn Ma’in berkata: “Pendusta lagi buruk.” Imam Bukhari berkata: “Mungkar hadisnya.” An-Nasa’i berkata: “Hadisnya ditinggalkan.” Melalui jalan lain terdapat perawi yang bernama Sulaiman yang Abu Zur’ah berkata tentangnya: “Dia ditinggalkan.” (Lihat Silsilah Ahadits Adh-Dha’ifah wal Maudhu’ah, pada huraian hadis no: 3427)

Yang sahih berkenaan tayammum adalah sekali tepukan untuk wajah dan kedua-dua telapak tangan sahaja. Ini tsabit dengan hadis yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim:
إِنَّمَا كَانَ يَكْفِيكَ هَكَذَا فَضَرَبَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بِكَفَّيْهِ الأَرْضَ وَنَفَخَ فِيهِمَا ثُمَّ مَسَحَ بِهِمَا وَجْهَهُ وَكَفَّيْهِ

“Sesungguhnya memadailah engkau berbuat begini, Maka Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam menepuk kedua belah telapak tangannya ke bumi dan menghembus keduanya, kemudian baginda menyapu keduanya pada muka dan kedua-dua tangannya.” (Hadis riwayat Bukhari, no: 347 dan Muslim, no: 110)

Oleh sebab itu Imam An-Nawawi Asy-Syafi’i rahimahullah berkata dalam Syarah Al-Muhazzab:
أنه أقوى في الدليل وأقرب إلى ظاهر السنة الصحيحة والله أعلم.

“Bahawasanya inilah yang paling kuat dalil (tentang tayammum iaitu sebagaimana riwayat Bukhari dan Muslim) dan paling hampir kepada zahir sunnah yang sahih, wallahua’lam.” (Dinukil dari kitab Kifayatul Akhyar Fi Ghayati Al-Ikhtiyar, Imam Taqiyuddin Abi Bakr bin Muhammad Al-Husaini Ad-Dimasyqi Asy-Syafi’i, Dar-Kutub Al-‘Ilmiyyah – Beirut, halaman 93)

Dengan keterangan di atas, sepatutnya tidak timbul persoalan adanya bid’ah hasanah sebagaimana yang dibela bermati-matian oleh segelintir masyarakat kita. Mereka sering menggunakan perkataan Imam Syafi’i sebagaimana berikut:
الْبِدْعَة بِدْعَتَانِ : مَحْمُودَة وَمَذْمُومَة ، فَمَا وَافَقَ السُّنَّة فَهُوَ مَحْمُود وَمَا خَالَفَهَا فَهُوَ مَذْمُوم

“Bid’ah itu dua jenis: terpuji dan tercela. Apa yang menepati Sunnah adalah terpuji dan apa yang menyalahi sunnah adalah tercela.” (Dikeluarkan oleh Abu Nu’aim; Lihat Fathul Baari, Ibn Hajar Al-‘Asqalani, dalam Al-Maktabah Asy-Syamilah, 20/330)



Dalam pernyataan beliau yang lain:

الْمُحْدَثَات ضَرْبَانِ مَا أُحْدِث يُخَالِف كِتَابًا أَوْ سُنَّة أَوْ أَثَرًا أَوْ إِجْمَاعًا فَهَذِهِ بِدْعَة الضَّلال ، وَمَا أُحْدِث مِنْ الْخَيْر لا يُخَالِف شَيْئًا مِنْ ذَلِكَ فَهَذِهِ مُحْدَثَة غَيْر مَذْمُومَة

“Suatu yang diada-adakan (perkara baru dalam agama) ada dua jenis: Sesuatu yang diada-adakan yang menyelisihi Kitab (Al-Qur’an) atau Sunnah, atau atsar atau Ijma’, maka ianya adalah bid’ah yang sesat dan sesuatu yang diada-adakan dari kebaikan yang ia sedikitpun tidak menyelisihi sunnah, maka ianya tidak tercela.” (Fathul Baari, dalam Al-Maktabah Asy-Syamilah, 20/330)

Untuk menjawab syubhat yang dilontarkan ini, mari kita melihat apa komen Ibn Rajab Al-Hanbali rahimahullah tentang pernyataan Imam Syafi’i di atas.

Ibn Rajab rahimahullah berkata:
ومراد الشافعي - رحمه الله - ما ذكرناه مِنْ قبلُ : أنَّ البدعة المذمومة ما ليس لها أصل منَ الشريعة يُرجع إليه ، وهي البدعةُ في إطلاق الشرع ، وأما البدعة المحمودة فما وافق السنة ، يعني : ما كان لها أصلٌ مِنَ السنة يُرجع إليه ، وإنَّما هي بدعةٌ لغةً لا شرعاً ؛ لموافقتها السنة .

“Dan yang hendak dimaksudkan oleh Imam Asy-Syafi’i rahimahullah yang telah kita sebutkan sebelumnya: Bahawasanya pada dasarnya, bid’ah yang tercela adalah sesuatu yang tidak ada asalnya menurut syariat yang ia akan kembali kepadanya. Inilah bid’ah menurut syarak. Adapun bid’ah yang terpuji iaitu apa-apa yang bertepatan dengan sunnah, maksudnya sesuatu yang ada dasarnya daripada sunnah yang kembali kepadanya, hanyasanya pemahaman ini secara bahasa bukan secara syarak kerana ia bertepatan dengan sunnah.” (Jami’ Al-‘Ulum wa Al-Hikam, Ibn Rajab Al-Hanbali, dalam Al-Maktabah Asy-Syamilah, 28/29)

Dengan itu dapatlah disingkap segala kesamaran mereka kononnya Imam Syafi’i berpendapat adanya bid’ah hasanah. Apa yang sebenarnya diinginkan oleh mereka dalam membela amalan bid’ah hasanah mereka tersebut adalah seperti, berzikir secara kuat dan berjemaah setelah solat, kenduri arwah dan sebagainya. Jika begitulah, tanyakan semula kepada mereka “Apakah Imam Syafi’i berbuat sebagaimana yang kamu lakukan?” Maka jawapannya adalah selepas ini.

Zikir Setelah Solat

Dalam masalah ini pada kebiasaannya yang dilakukan di Malaysia adalah para jemaah berzikir setelah solat fardhu secara bersama-sama dengan dikeraskan suara. Mari kita lihat apakah pandangan Imam Asy-Syafi’i dalam maslah ini:
Imam Asy-Syafi’i rahimahullah berkata

واختيار للامام والمأموم أن يذكر الله بعد الانصراف من الصلاة ويخفيان الذكر إلا أن يكون إماما يجب أن يتعلم منه فيجهر حتى يرى أنه قد تعلم منه ثم يسر
“Imam dan makmum boleh memilih sama ada ingin berzikir kepada Allah (atau tidak) selepas solat. Dan mereka hendaklah memperlahankan zikir kecuali dia merupakan seorang imam. Imam wajib mengajari makmum berzikir, maka hendaklah dia kuatkan zikirnya sehingga dia melihat bahawa telah dipelajari darinya (zikir-zikir tersebut). Kemudian hendaklah dia perlahankan semula. (Al-Umm, Kitab As-Solah, dalam Al-Maktabah Asy-Syamilah, 1/150)

وأحسبه إنما جهر قليلا ليتعلم الناس منه ذلك لان عامة الروايات التى كتبناها مع هذا وغيرها ليس يذكر فيها بعد التسليم تهليل ولا تكبير وقد يذكر أنه ذكر بعد الصلاة بما وصفت ويذكر انصرافه بلا ذكر وذكرت أم سلمة مكثه ولم يذكر جهرا وأحسبه لم يكث إلا ليذكر ذكرا غير جهر
“Aku berpendapat baginda (Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam) menguatkan suara ketika berzikir hanya untuk seketika sahaja. Tujuannya agar para sahabat dapat mempelajari zikir itu daripadanya. Ini kerana, kebanyakan riwayat yang telah kami tulis sama ada bersama kitab ini (Al-Umm) atau selainnya langsung tidak menyebut adanya bacaan tahlil atau takbir selepas baginda memberi salam. Kadang-kadang riwayat yang datang menyebut baginda berzikir selepas solat seperti apa yang aku nyatakan (secara kuat) dan kadangkala baginda beredar (meninggalkan saf) tanpa berzikir. Menurut apa yang diriwayatkan oleh Ummu Salamah, baginda tidak berzikir secara kuat selepas solat. Oleh itu, aku berpendapat bahawa baginda tidak akan duduk sama sekali kecuali berzikir tanpa dikuatkan suara.” (Al-Umm, dalam Al-Maktabah Asy-Syamilah, 1/150-151)
Pendapat Imam Asy-Syafi’i di atas ini sememangnya selari dengan sunnah Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam yang mana setelah solat baginda berzikir secara bersendirian tanpa dikeraskan suara. Terkadang baginda juga pernah tidak berzikir setelah solat. Ini sebagaimana diriwayatkan Jabir bin Yazid ibnu Aswad berkata:

عَنْ أَبِيهِ قَالَ صَلَّيْتُ خَلْفَ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَكَانَ إِذَا انْصَرَفَ انْحَرَف
“Daripada ayahnya bahawa dia pernah solat bersama Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wasallam dalam solat subuh. Setelah selesai solatnya, maka baginda segera meninggalkan tempat solatnya”. (Hadis riwayat Abu Daud dan An-Nasa’i, disahihkan oleh Al-Albani dalam Sahih wa Dha’if Sunan Abu Daud, no: 614 dan dalam Sahih wa Dha’if Sunan An-Nasa’i, no: 1334)

Namun yang lebih utama adalah berzikir terlebih dahulu sebelum meninggalkan tempat solat kerana Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam sering melakukannya sebagaimana terdapat banyak riwayat tentang bacaan zikir yang diajarkan oleh Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam setelah solat.

Adapun berdoa setelah solat fardhu secara berjamaah telah diterangkan oleh Imam An-Nawawi Asy-Syafi’i rahimahullah bahawa ianya tidak ada asal usulnya sebagaimana katanya:
قد ذكرنا استحباب الذكر والدعاء للامام والمأموم والمنفرد وهو مستحب عقب كل الصلوات بلا خلاف وأماما اعتاده الناس أو كثير منهم من تخصيص دعاء الامام بصلاتي الصبح والعصر فلا أصل له

`
“Kami telah menyebutkan tentang kesunnatan berzikir sesudah solat bagi Imam bagi makmum, dan bagi yang bersolat secara bersendirian adalah dikehendaki berbuat yang demikian (secara bersendirian) pada setiap solat lima waktu tanpa khilaf. Dan adapun adat yang diadakan manusia atau kebanyakan dari mereka, iaitu imam menentukan doa buat solat subuh dan asar, maka ianya tidak ada asal usulnya”. (Al-Majmu’ Syarh Al-Muhazzab, dalam Al-Maktabah Asy-Syamilah, 3/488)

Pendapat Imam Asy-Syafi’i Tentang Kenduri Arwah

Imam Asy-Syafi’i rahimahullah berkata dalam kitabnya “Al-Umm”:
وأحب لجيران الميت أو ذى قرابته أن يعملوا لاهل الميت في يوم يموت وليلته طعاما يشبعهم فإن ذلك سنة وذكر كريم وهو من فعل أهل الخير قبلنا وبعدنا لانه لما جاء نعى جعفر قال رسول الله صلى الله عليه وسلم " اجعلوا لآل جعفر طعاما فإنه قد جاءهم أمر يشغلهم"

“Aku suka jiran si mati atau orang yang mempunyai pertalian keluarga dengannya (keluarga jauh) memberi makan kepada ahli mayat, yang mengenyangkan mereka pada hari dan malamnya. Kerana itu adalah sunnat dan ingatan (zikir) yang mulia, dan ianya adalah perbuatan golongan yang baik-baik sebelum dan selepas kita. Ini kerana apabila tiba berita kematian Ja’far, Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Buatlah kamu makanan kepada keluarga Ja’far kerana telah datang perkara yang mengharukan kepada mereka.” (Al-Umm, dalam Al-Maktabah Asy-Syamilah, 1/317)

Beliau juga berkata:
وأكره المأتم وهى الجماعة وإن لم يكن لهم بكاء فإن ذلك يجدد الحزن ويكلف المؤنة مع ما ضى فيه من الاثر

“Dan aku membenci membuat perkumpulan iaitu berkumpul, walaupun dalam majlis itu tidak terdapat tangisan (ratapan) kerana sesungguhnya perkara itu (berkumpul) akan mengembalikan kesedihan dan memberikan beban berdasarkan atsar yang telah lalu.” (Al-Umm, dalam Al-Maktabah Asy-Syamilah, 1/318)

Yang dimaksudnya atsar oleh Imam Asy-Syafi’i tersebut adalah atsar yang diriwayatkan oleh Jarir bin Abdulullah Al-Bajali radhiallahu ‘anhu:
كُنَّا نَعُدُّ الاجْتِمَاعَ إِلَى أَهْلِ الْمَيِّتِ وَصَنِيعَةَ الطَّعَامِ بَعْدَ دَفْنِهِ مِنْ النِّيَاحَةِ

“Kami mengira berhimpun orang ramai kepada ahli si mati dan membuat makanan selepas pengkebumiannya adalah sebahagian dari ratapan kematian.” (Hadis riwayat Ahmad dalam Musnadnya; Syu’aib Al-Arnauth berkata: Sahih dalam Takhrijnya ke atas Musnad Ahmad, no: 6905)

Imam An-Nawawi Asy-Syafi’i rahimahullah mengulas perkataan Imam Asy-Syafi’i di atas tadi dengan mengatakan:
واستدل له المصنف وغيره بدليل آخر وهو انه محدث

“Pengarang (Imam Asy-Syafi’i) dan ulama-ulama yang lain berpendapat berdasarkan dalil yang lain bahawa perbuatan itu (yakni mengadakan perkumpulan) adalah merupakan perkara yang baru.” (Al-Majmu’, dalam Al-Maktabah Asy-Syamilah, 5/306)

Beliau (Imam An-Nawawi) juga berkata:
(واما) الجلوس للتعزية فنص الشافعي والمصنف وسائر الاصحاب علي كراهته ونقله الشيخ أبو حامد في التعليق وآخرون عن نص الشافعي قالوا يعنى بالجلوس لها ان يجتمع اهل الميت في بيت فيقصدهم من اراد التعزية قالوا بل ينبغى ان ينصرفوا في حوائجهم فمن صادفهم عزاهم ولا فرق بين الرجال والنساء في كراهة الجلوس لها

“Dan adapun berkumpul untuk takziah, maka Asy-Syafi’i dan pengarang Al-Musannif, mereka telah menetapkan bahawa perbuatan itu adalah perkara yang dibenci. Syeikh Abu Hamid telah menukilkan dalam At-Ta’liq dan ulama yang lain daripada nas Asy-Syafi’i berkata: Yakni duduk takziah iaitu keluarga si mati berkumpul di rumah, lalu mereka menunggu orang yang ingin bertakziah. Beliau berkata: Mereka mengatakan: Bahkan hendaklah mereka beredar pergi untuk berusaha memenuhi keperluan hidup mereka. Maka sesiapa yang terserempak menemui mereka, maka bolehlah dia bertakziah kepada mereka. Tidak ada perbezaan di antara kaum lelaki dan kaum perempuan pada larangan duduk berkumpul untuk bertakziah.” (Al-Majmu’, dalam Al-Maktabah Asy-Syamilah, 5/306)

Demikianlah sunnah dalam berlakunya kematian adalah memberi makanan kepada keluarga si mati kemudian mengucapkan takziah kepadanya. Inilah pendapat Imam Asy-Syafi’i dan jumhur ulama termasuklah kitab-kitab jawi dari ulama Nusantara juga berpendapat sedemikian. Berikut saya nukilkan beberapa perkataan ulama Nusantara tersebut:

1 - Dalam Kitab Furu’il Masa’il

“Dan demikian lagi yang dikerjakan manusia dengan barang yang dinamakan dia dengan kaffarah dan daripada dikerjakan wahsyah yakni berhimpun memberi makan awal malam kemudian daripada ditanam mayat dan tujuh harinya dan dua puluh dan empat puluh dan umpamanya, yang demikian itu haramkah atau makruh atau harus. (Maka dijawabnya) Maka adalah segala yang tersebut makruh yang dicela pada syarak kerana tegah pada syarak kata syeikh Ibn Hajar tiada sah wasiatnya.” (Furu'il Masaail, Syeikh Daud bin Abdullah Al-Fathani, Juz 1, halaman 183)
2 – Dalam Kitab Sabil Al-Muhtadin

“Dan makruh lagi bid'ah bagi yang kematian memperbuat makanan yang disukanya manusia atas makan dia dahulu daripada menanam dia dan kemudian daripadanya seperti yang telah teradat dan demikian lagi makruh lagi bid'ah bagi segala mereka yang diserunya perkenankan seruannya.” (Sabil Al-Muhtadin, Syeikh Muhammad bin Abdullah Al-Banjari, Juz 2, halaman 83)

3 – Dalam Kitab Kasyful Litsaam

“Barang dikerjakan oleh ahli mayat daripada mempersembahkan makanan dan perhimpunan manusia atas dahulu daripada tanam mayat dan kemudian lagi dikerjakan oleh manusia dengan barang yang dinamakan kaffarah dan daripada dikerjakan wahsyah yakni berhimpun memberi makan awal malam kemudian daripada ditanam mayat dan tujuh hari dan dua puluh hari dan empat puluh hari dan umpamanya yang demikian itu yang diperbuat oleh kebanyakan orang itu maka adalah segala yang tersebut itu makruh yang dicela oleh syarak kerana tegah pada syarak.” (Kasyful Litsaam, Juz 1, halaman 85)

4 – Dalam Kitab Bughyat At-Tullab

“Dan sunnah bagi jiran keluarga mayat dan orang yang berkenalan dengan keluarganya, jikalau bukan jirannya sekalipun dan segala kerabatnya yang jauh, membawa makan makanan akan orang yang kematian yang mengenyangkan mereka itu pada hari dan malamnya (serta) menyungguh-nyugguh akan mereka itu suruh mereka makan kerana mereka itu terkadang meninggal akan makan sebab sangat terkejut hati mereka itu….

Dan makruh lagi bid'ah bagi orang kematian memperbuat makanan menserukan (menyerukan) segala manusia atas memakan dia, sama ada dahulu daripada menanam dia dan kemudian daripadanya seperti yang telah diadatkan kebiasaan manusia. Demikian lagi makruh lagi bid'ah bagi segala orang yang diserukan dia memperkenankan seruannya.

Dan setengah daripada yang qabihah lagi makruh mengerjakan dia barang yang dikerjakan kebiasaan manusia barang dimakan dengan kaffarah dan wahsyah dan tujuh hari dan empat puluh dan umpamanya yang demikian itu……

Adapun asal sunnah mensediakan makanan itu pada barang yang dahulunya sabda Nabi s.a.w tatkala datang khabar kematian saidina Ja'far bin Abu Talib pada perang mu'tah, perbuat olehmu bagi keluaraga Ja'far makanan maka sesungguhnya telah datang akan mereka itu barang yang membimbangkan mereka itu.” (Bughat At-Thullab, Syeikh Daud bin 'Abdullah Al-Fathani, juz 2, halaman 33-34)

Adapun amalan membaca Al-Qur’an untuk dihadiahkan kepada si mati. Maka dalam masalah ini Imam An-Nawawi Asy-Syafi’i rahimahullah menjelaskan tentang pendapat jumhur dalam mazhab Syafi’i iaitu kata beliau:
وَأَمَّا قِرَاءَة الْقُرْآن فَالْمَشْهُور مِنْ مَذْهَب الشَّافِعِيّ أَنَّهُ لا يَصِلُ ثَوَابُهَا إِلَى الْمَيِّت وَقَالَ بَعْض أَصْحَابه : يَصِل ثَوَابهَا إِلَى الْمَيِّت

“Dan adapun pembacaan Al-Qur’an, maka yang masyhur dari mazhab Syafi’i bahawa ianya tidak sampai kepada mayat sedangkan sebahagian sahabatnya mengatakan: Pahalanya sampai kepada mayat.” (Syarah An-Nawawi ‘ala Muslim, dalam Al-Maktabah Asy-Syamilah, 1/25)

Firman Allah Ta’ala:
وَأَنْ لَيْسَ لِلإِنْسَانِ إِلاَّ مَا سَعَى

Maksudnya: “Dan bahawasanya seseorang manusia tiada memperoleh selain apa yang telah diusahakannya.” (Surah An-Najm: 39)



Al-Hafiz Imam Ibnu Katsir rahimahullah berkata:
ومن وهذه الآية الكريمة استنبط الشافعي رحمه الله، ومن اتبعه أن القراءة لا يصل إهداء ثوابها إلى الموتى؛ لأنه ليس من عملهم ولا كسبهم؛ ولهذا لم يندب إليه رسول الله صلى الله عليه وسلم أمته ولا حثهم عليه، ولا أرشدهم إليه بنص

“Dan melalui ayat yang mulia ini, Imam Asy-Syafi’i rahimahullah dan para pengikutnya mengistinbatkan hukum bahawa pahala bacaan (Al-Qur’an) yang dihadiahkan kepada orang mati tidak sampai kepadanya kerana bukan dari amal mereka dan bukan usaha mereka (orang mati). Oleh kerana itu, Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam tidak pernah mensunnahkan umatnya dan menganjurkan mereka melakukan perkara tersebut, serta tidak pula menunjukkan kepadanya (menghadiahkan bacaan kepada orang mati) walaupun dengan satu nas (dalil).” (Tafsir Al-Qur’an Al-‘Azhim, dalam Al-Maktabah Asy-Syamilah, 7/465)

Al-Haitami rahimahullah yang merupakan ulama dalam mazhab Syafi’i berkata dalam kitabnya Al-Fatawa Al-Kubra Al-Fiqhiyah:
الميت لا يقرأ عليه مبني على ما اطلقه المتقدمون من أن القراءة لا تصل إلى الميت لأن ثوابها للقارئ والثواب المرتب على عمل لا ينقل عن عامل ذلك العمل. قال الله تعالى: وَأَنْ لَيْسَ لِلإِنْسَانِ إِلاَّ مَا سَعَى

“Si mati tidak boleh dibacakan apa pun berdasarkan keterangan yang mutlak dari ulama mutaqaddimin (terdahulu) bahawa bacaan (yang pahalanya dikirmkan kepada si mati) adalah tidak dapat sampai kepadanya, sebab pahala bacaan itu adalah untuk pembacanya sahaja. Sedangkan hasil amalan tidak dapat dipindahkan dari amil (yang mengamalkan) perbuatan itu berdasarkan firman Allah (yang bermaksud): “Dan bahawasanya seseorang manusia tiada memperoleh selain apa yang telah diusahakannya.” (Al-Fatawa Al-Kubra Al-Fiqhiyah, juz 2, halaman 9; dinukil dari buku Membela Sunnah Nabawiyah, Jahabersa, halaman 61)

Kesimpulan

Daripada keterangan-keterangan di atas dapatlah kita membuat kesimpulan bahawa kebanyakan mereka yang mengaku mengikut mazhab Syafi’i sebenarnya mereka masih jauh dari apa yang dipegang sendiri oleh Imam Syafi’i. Kalaulah kita benar-benar merupakan pengikut mazhab Syafi’i yang tulen pasti kita mengikuti pegangan beliau sebagaimana yang telah dikemukakan di atas. Akan tetapi sebenarnya ramai dari mereka yang tidak tahu kenyataan ini, bahkan mereka dengan melulu menuduh orang yang mengajak kepada pendapat Imam Syafi’i di atas adalah sebagai wahabi dan sebagainya. Semoga Allah membuka pintu hati mereka untuk melihat cahaya kebenaran.
Wallahua’lam.      `

Tidak ada komentar:

Posting Komentar